Pengalaman Di Goodison Park, Everton

Sebenarnya saya dan isteri secara tidak sengaja singgah ke Goodison Park, stadium rasmi kepada kelab Bola Sepak Everton ketika dalam pencarian ke sebuah lagi stadium untuk kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris, Liverpool FC. Untuk pengetahuan, lokasi kedua-dua stadium ini adalah sangat berdekatan dan ia sangat mengejutkan saya kerana kedua-dua kelab ini mempunyai  fan base yang kuat walaupun berjiran dan juga kedua-duanya bersaing di dalam liga tertinggi di United Kingdom.



Apa yang lagi mengejutkan, stadium ini berada betul-betul di kawasan kejiranan yang sibuk dan di sekelilingnya adalah rumah kediaman yang berpenghuni. Senang cerita, peminat pasukan Everton yang tinggal berdekatan hanya perlu melintas jalan untuk menikmati perlawanan secara langsung di stadium! Saya membayangkan jika situasi ini berlaku di Malaysia, sudah semestinya penduduk sekitar berasa menyampah kerana setiap minggu pasti akan ada orang yang tidak makan saman menghalang laluan keluar masuk rumah mereka ketika hari perlawanan berlangsung.

Stadium ini dibina pada tahun 1892 dan mampu memuatkan seramai 39,572 penonton dalam satu-satu masa. Stadium ini telah melalui beberapa peringkat renovasi sepanjang kewujudannya sehingga kini.

Oleh kerana stadium Everton terlalu berdekatan dengan stadium bagi kelab Liverpool FC, maka setiap kali pertembungan di antara dua kelab ini berlangsung di dalam Liga Perdana Inggeris, setiap pelusuk jalan dan kedai di bandar Liverpool pastinya bergema dengan penyokong yang keluar meramaikan majlis. Pertembungan klasik ini dikenali sebagai 'Merseyside Derby' dan semestinya gamat dengan telatah penyokong masing-masing.

Walaubagaimanapun persinggahan kami adalah sementara disebabkan kawasan letak kenderaan yang sangat terhad. Percubaan untuk masuk ke kawasan stadium juga gagal disebabkan sudah lewat petang.