Memandu Kereta Sewa di United Kingdom

Semasa merancang untuk bercuti ke United Kingdom, saya mahukan eksplorasi secara menyeluruh. Saya mahukan perjalanan saya meliputi sebanyak mungkin bandar dan tempat di dalam UK; tidak hanya tertumpu di kota London semata-mata. Apabila mengkaji peta UK, saya mengambil keputusan untuk memilih England, Wales dan Scotland yang mana boleh diteroka menggunakan jalan darat. Ireland saya terpaksa keluarkan daripada senarai kerana lokasi yang agak jauh dan terasing dengan tiga negara yang saya mahu lawati.

Selepas mendarat di Lapangan Terbang Heathrow, perkara pertama saya dan isteri lakukan adalah mencari bas perantara yang akan membawa kami ke ibu pejabat Hertz cawangan Lapangan Terbang Heathrow. Untuk makluman, Hertz merupakan di antara syarikat sewa kereta yang terbesar di Eropah dan memiliki rangkaian kereta yang sangat banyak daripada kereta budget sehinggalah ke kereta super. Proses tempahan telah dilakukan di Malaysia terlebih dahulu. Oleh kerana kami berdua sahaja, kereta yang pada asalnya ditempah semasa di Malaysia adalah Ford Focus dan sekelasnya.

SCODA?

Setibanya di Hertz Heathrow, saya terus ke kaunter pendaftaran namun saya agak kecewa kerana kereta pilihan asal kami Ford Focus tiada dalam simpanan mereka dan saya diminta untuk membuat pilihan lain di antara kereta Mitsubishi ASX ataupun Scoda Octavia. Mitsubishi ASX saya biasa lihat di Malaysia tetapi Scoda agak asing untuk saya. Setelah dipujuk oleh operator Hertz yang tidak henti-henti menyatakan bahawa Scoda Octavia adalah pilihan yang lebih baik dan jimat minyak, saya akhirnya memilih jentera daripada Republik Czech ini untuk disewa selama empat hari. Selain daripada itu, Scoda Octavia juga adalah kereta yang dinaik taraf oleh Hertz tanpa tambahan harga kerana kereta ini sememangnya lebih besar dan luas berbanding Ford Focus. Walaubagaimanapun,kereta ini datang dengan gear manual dan berenjin diesel. Pada asalnya saya mahu memilih kereta dengan transmisi automatik memandangkan saya memandu di negara yang saya tidak biasa jalannya tetapi oleh kerana naik taraf ini tidak melibatkan penambahan kos, saya pun terima sahajalah.

Perlu diingatkan semasa pendaftaran, syarikat kereta sewa akan meminta semua maklumat seperti salinan passport dan nombor kad kredit memandangkan kita adalah pelancong luar. Seperti biasa setelah semua borang diisi dan kunci sudah berada di dalam tangan, periksa dahulu keadaan kereta dan ambil gambar sekiranya terdapat calar atau kemik di mana-mana bahagian kereta. Semasa saya mengambil kereta ini saya agak terkejut kerana odometer kereta ini baru 10 batu! Sememangnya kereta baru keluar kilang!



Pada awalnya, saya agak risau untuk memandu di UK atas pelbagai faktor. Bagaimanakah peraturan jalan di sana? Bagaimana pula sikap pemandu di sana? Berbezakah simbol jalan dengan di Malaysia? Macam-macam lagi yang saya fikirkan. Tetapi apabila kereta sudah mula menyusuri jalan utama, saya dapati pemandu Mat Salleh amatlah bertolak-ansur di atas jalanraya. Ini sedikit sebanyak memberi keyakinan kepada saya untuk memandu dan saya dapat menyesuaikan diri dalam masa yang cepat.



Satu perkara yang saya kagum adalah pemandu di UK betul-betul mempraktikkan undang-undang jalanraya mereka. Sekiranya di lebuhraya had lajunya adalah 50mph, memang 50mph lah mereka pandu kereta. Boleh dikatakan tiada pemandu lane hogging di lorong kanan dan tiada kenderaan yang mencucuk rapat di belakang seperti yang selalu berlaku apabila memandu di Malaysia.

SAMAN

Apabila memandu di luar negara, sudah semestinya perkara yang mahu dielak adalah kemalangan dan disaman. Memang memeningkan kepala apabila terjadi situasi seperti ini. Namun nasib tidak menyebelahi saya apabila perkara yang cuba dielak akhirnya terjadi jua. Lokasi kejadian adalah di Edinburgh, Scotland. Kepada sesiapa yang pernah ke Edinburgh mesti sedia maklum bahawa kawasan parkir kereta di sana sangat terbatas. Untuk pengetahuan semua, Edinburgh adalah bandar lama yang masih mengekalkan bangunan-bangunan bersejarah jadi tidak banyak kemudahan parkir bertingkat seperti kawasan lain di UK. Nak dijadikan cerita ketika sedang mengikut arahan Waze untuk ke Hard Rock Cafe Edinburgh, terdapat parkir yang berada betul-betul di hadapan kedai Hard Rock. Dalam fikiran kami, memang rasa bertuah sangat dapat parkir yang paling strategik di sini. Seperti biasa setelah meletakkan kereta, kami terus ke mesin parkir untuk membayar dengan wang syiling. Lebih kurang sama seperti yang kita praktikkan di Malaysia. Pada hemat kami ketika itu dua jam sudah memadai untuk pusing-pusing di kawasan sekitar.

Setelah siap berjalan, mengambil gambar dan membeli cenderahati di sini, kami bergegas memandangkan masa dua jam hampir tamat tetapi alangkah terkejutnya apabila sampai ke kereta terdapat satu sampul surat yang diletakkan di wiper kereta. Rupa-rupanya kotak parkir yang 'strategik' itu dikhaskan untuk penduduk sekitar. Maka melayanglah wang ringgit atas kealpaan sendiri.

Kes kedua berlaku di Cardiff, Wales. Ya betul dua kali saya disaman. Puncanya semasa memandu di kawasan laluan bas, saya 'termakan' sedikit jalan bas dan akibatnya kamera yang diletakkan di sekitar bandar menangkap gambar kereta ketika kesalahan dibuat dari pelbagai sudut kamera. Nah dua kali saman sebagai habuan kerana memandu sambil lewa.

Mungkin anda tertanya bagaimana saman tersebut dibayar bukan? Masih ingat segala maklumat peribadi termasuk info kad kredit diambil semasa proses pendaftaran kereta sewa? Jadi caj secara automatik terus kepada pemilik kad tanpa ada ruang untuk merayu lagi. Walaupun nampak sangat ketat dan kejam, tetapi sistem yang diamalkan amat efisyen.

Walaupun pengalaman disaman adalah pengalaman yang semua orang tidak ingin hadapi, tetapi untuk anda yang memandu secara berhemah tidak perlu risau untuk memandu kereta ketika berada di UK. Pemandangan yang cantik, padang rumput yang luas, kambing biri-biri yang gemuk-gemuk, kincir angin yang besar, istana lama di merata-rata ceruk, dan semestinya pengalaman memandu itu sendiri sudah semestinya rugi untuk dilepaskan.