Pandang Pertama Jaguar F-Pace

Saya berkesempatan mencuba Jaguar F-Pace ketika The Art of Performance Tour yang diadakan oleh Jaguar Malaysia di Setia City Convention Centre, Setia Alam tempoh hari. Daripada luaran, SUV sukan ini kelihatan sangat besar dan lebar. Semasa mula  dilancarkan di pasaran Malaysia pada 2016, kereta ini ditawarkan pada harga bermula dari RM598,800 sehingga RM658,800 untuk enjin petrol 3.0 liter supercharged V6. Semasa acara ini, Jaguar Malaysia telah membuat penampilan pertama varian asas SUV ini yang datang dengan enjin 2.0 liter empat silinder Ingenium. Harga juga jauh lebih rendah berbanding varian 3.0 liter iaitu Prestige bermula pada RM425,800, R-Sport Mid-spec pada RM476,800 dan R-Sport Hi-spec varian termahal dengan harga RM498,800.

Pandangan pertama saya sudah semestinya kereta ini berat dan malas untuk bergerak jika dilihat pada saiznya. Walaubagaimanapun tanggapan saya meleset sama sekali kerana SUV ini apabila sudah dipandu untuk seketika, tidak terasa langsung berat dan malas malah pada hemat saya ia mempunyai karektor seperti sebuah kereta sedan. Sterengnya juga mempunyai berat yang sesuai, tidak terlalu ringan dan tidak terlalu berat. Senang untuk dikendalikan dan ini memang saya suka.

Semasa sesi pandu uji, peserta akan diberi peluang untuk memandu dalam litar yang Jaguar panggil sebagai Smart Cones. Apa yang unik, litar Smart Cones ini tidak tetap dan sentiasa berubah-ubah secara rawak. Setiap kon mempunyai lampu yang menyala dengan warna hijau dan peserta mesti melalui di antara celah kon berkenaan dalam jarak yang paling dekat. Terdapat sistem permarkahan untuk setiap peserta jadi memang sangat seronok memandu F-Pace dengan cara yang agak agresif dalam aktiviti ini. Di sinilah saya nampak F-Pace menyinar berbanding SUV lain di pasaran. Selalunya apabila memandu SUV, resam kereta tinggi pusat graviti ini sudah semestinya terasa elongan badan kereta ketika mengambil selekoh tajam tetapi F-Pace terasa sangat berbeza. Saya puji jurutera di belakang sistem suspensi dan chasis kerana berjaya mengurangkan elongan badan kereta di tahap yang minimum.

Sungguhpun demikian, ini hanyalah panju uji ringkas, jadi tidak banyak yang boleh saya ulas. F-Pace memang sebuah SUV sukan yang mewah dan jika anda mahukan kereta SUV yang lain daripada yang sudah kita biasa lihat di jalanan, SUV ini sudah semestinya menjadi pilihan yang tepat.