Pandang Pertama Ford Ranger Wildtrak

Sebelum ini saya agak skeptikal terhadap trak pikap. Pada pandangan saya, trak pikap hanya sesuai untuk kontraktor yang memerlukan jentera untuk mengangkut barang pembinaan dan semestinya tidak selesa untuk dipandu sebagai kenderaan sehari-hari. Walaubagaimanapun selepas mendapat pelawaan daripada Ford Malaysia untuk menguju Ford Ranger, tanggapan saya terhadap jenis kenderaan ini berubah sama sekali.

Ford Ranger datang dalam dua variasi enjin iaitu 2.2 liter dan 3.2 liter Wildtrak dan saya berkesempatan memandu kedua-dua jenis varian yang ditawarkan. Hari kami bermula awal pagi apabila pihak Ford Malaysia membawa semua peserta dari Hilton Petaling Jaya ke Citta Mall Damansara untuk sesi taklimat. Di sini kami dibahagikan kepada kumpulan empat orang untuk satu kereta dan seterusnya kami bergerak secara berkonvoi ke Tadom Hill. Saya diberi peluang memandu varian 2.2 liter ketika pergi ke Tadom Hill dan 3.2 liter Wildtrak ketika pulang. Apa yang mengejutkan ketika mula-mula masuk ke dalam kereta ini, saya dapati kemasan dalaman trak ini kemas dan tidak seperti lain-lain trak yang saya pernah pandu. Lebih berkualiti dan ergonomik walaupun untuk varian asas 2.2 liter.

Setelah tiba di Tadom, kami berkesempatan menguji trak ini di trek yang dikhaskan untuk jentera pacuan empat roda seperti cabaran mendaki bukit, menuruni cerun, laluan berliku, dan juga memasuki takungan air sedalam 800mm. Di sinilah jentera ini menyinar berbanding pesaingnya. Untuk rekod, Ford Ranger adalah satu-satunya trak pikap yang mampu menyusuri laluan berair sehingga ke kedalaman 800mm tanpa masalah.

Dengan kehadiran varian Raptor, saya yakin Ford mampu untuk terus mengukuhkan penguasaan di dalam pasaran trak pikap di bumi Malaysia.