Memandu BMW 420i di Sepang

Pelawaan untuk menyertai BMW Advanced Driving Course yang dianjurkan oleh BMW Malaysia dengan kerjasama pengeluar tayar kereta terkemuka Jerman, Continental Tyres Malaysia bagaikan bulan jatuh ke riba. Ditambah pula segala kemudahan logistik dan kereta disediakan sepenuhnya oleh pihak penganjur, rugilah sekiranya saya dan isteri melepaskan peluang yang sudah terhidang di depan mata.

Sedikit maklumat berkenaan dengan kursus ini. Kursus ini berlangsung selama satu hari penuh bertempat di Litar Sepang dan diadakan selama enam hari sahaja dalam setahun! Tujuan kursus ini dianjurkan adalah sebagai platform kepada pemilik dan juga bukan pemilik BMW untuk lebih memahami teknologi yang datang dalam setiap model baru BMW di samping mendedahkan kepada peserta cara pemanduan selamat di atas jalanraya. Tempat yang ditawarkan amat terhad dan satu sesi hanya memperuntukkan sekitar 20 orang peserta sahaja. Bayaran untuk mengikuti kursus ini adalah RM1,8XX manakala pemilik jentera BMW mendapat keistimewaan kerana hanya perlu membayar sekitar RM1,6XX. Tenaga pengajar adalah mereka yang berpengalaman luas dalam bidang ini dan ada di kalangan mereka merupakan pelumba kereta lumba yang masih aktif. Peserta yang mengikuti kursus ini juga layak untuk mengambil satu lagi kursus peringkat tertinggi yang lebih memfokuskan kepada perlumbaan di litar dan berlangsung selama dua hari dengan caj sekitar RM3,XXX.

Setelah sesi pendaftaran, setiap peserta diwajibkan mengikuti kelas teori yang didedahkan dengan pelbagai ilmu baru dari sekecil-kecil cara memegang stereng yang betul sehinggalah kepada teori bagaimana mengawal kereta ketika over-steer dan under-steer. Sesi kelas berlangsung sekitar sejam dan sesi seterusnya adalah bahagian yang menarik iaitu praktikal dengan kereta BMW!

Kereta yang disediakan oleh BMW Malaysia adalah daripada keluarga 4 series iaitu model 420i. Series 4 dikelaskan di antara series 3 dan series 5 tetapi yang membezakan series 4 ini adalah ia datang dalam bentuk dua pintu. Sangat seksi tetapi dalam masa yang sama masih kelihatan elegan. Antara ciri yang saya paling suka adalah mekanisme seperti tangan yang menghulurkan tali pinggang keledar daripada belakang supaya mudah dicapai oleh tangan. Ciri yang kelihatan kecil tetapi sangat memudahkan jika dibandingkan dengan pengalaman saya sendiri ketika memiliki Satria Neo dahulu.



Jentera BMW ini dpacu oleh enjin 2.0 liter turbo empat silinder dengan 184 kuasa kuda daripada 5,000-6,250 rpm dan tork 270 Nm daripada 1,250-4,500 rpm. Masa yang diambil daripada 0 ke 100/j dalam 7.3 saat dan kelajuan maksimum adalah 236 km/j. Walaupun 420i yang ditawarkan ini adalah varian paling rendah, ia adalah mencukupi untuk digunakan sebagai kereta praktikal ketika kursus dijalankan. Antara aktiviti yang dilakukan antara laluan slalom, brek mengejut, elak halangan selepas brek mengejut, kawalan kereta over-steer dan under-steer dan juga sesi ujian masa yang memerlukan peserta mempraktikkan semua aktiviti yang dipelajari sepanjang kursus di dalam masa yang terpantas. Untuk makluman, isteri saya adalah pemandu wanita terpantas untuk sesi ujian masa ini.



Jujurnya saya dan isteri bertuah kerana berpeluang mengikuti kursus ini memandangkan satu-satunya kursus pemanduan kebanyakan daripada kita rakyat Malaysia terima hanyalah melalui kelas semasa mengambil lesen memandu dahulu. Ini sedikit sebanyak meningkatkan kemahiran sedia ada selain menepis ajaran tidak betul yang kita amalkan setelah bertahun-tahun memandu di jalanraya. Contoh amalan salah yang saya sendiri praktikkan adalah memegang stereng dalam posisi jam 10 dan 2 sedangkan posisi yang lebih baik adalah 3 dan 9. Perkara asas seperti postur badan semasa memandu dan cara menekan brek dengan betul juga membantu saya menjadi pemandu yang lebih baik.

Kesimpulannya, inisiatif BMW dan Continental menganjurkan kursus ini dalam usaha meningkatkan kesedaran pengguna terhadap keselamatan jalan raya dan memang harus dipuji. Memandu di jalanraya tidak akan terlepas dengan pelbagai risiko, tetapi dengan ilmu yang cukup, memandu juga boleh menjadi aktiviti yang sangat menyeronokkan. Terima kasih BMW Malaysia dan Continental Tyres Malaysia utuk peluang yang diberi!