Pengalaman Di Anfield - Home Of Liverpool FC

Boleh dikatakan pasukan bola sepak Liga Perdana Inggeris, Liverpool Football Club mempunyai peminat dan pengikut yang sangat ramai di Malaysia. Jika betul anda merupakan salah seorang peminat setia Liverpool sudah semestinya memasang angan-angan untuk menjejakkan kaki ke Anfield sekurang-kurang sekali seumur hidup bukan? Saya cuba untuk merangkumkan serba-sedikit pengalaman dan pemerhatian saya ketika berkunjung ke sana.

Untuk pengetahuan anda tiada penerbangan terus daripada Kuala Lumpur International Airport ke Liverpool. Jadi pilihan yang boleh dibuat adalah mengambil penerbangan daripada KLIA ke London dan mengambil penerbangan domestik daripada London ke Liverpool. Atau boleh juga bergerak daripada London ke Liverpool dengan menggunakan keretapi ataupun kereta. Saya dan isteri memilih untuk memandu sendiri dan perjalanan daripada London ke Liverpool dengan menggunakan kereta adalah sekitar empat ke lima jam.

Semasa di dalam perjalanan ketika menuju ke Stadium Anfield, kita akan melalui kawasan perumahan bercirikan batu-bata merah yang menjadi lambang dan ciri-ciri bangunan yang sinonim dengan warga Liverpool. Jangan rungsing dan pelik kerana Anfield memang berada di dalam kawasan perumahan. Sekiranya kita sudah berada di laluan yang betul, di celah-celah rumah berbatu merah itu nanti akan terlihat kelibat bumbung keramat stadium yang sememangnya lebih tinggi berbanding bumbung-bumbung rumah di sekitarnya. Buka aplikasi 'Waze' dan pilih kawasan parkir berdekatan dengan stadium kerana pengawal keselamatan tidak akan membenarkan kita meletak kereta di dalam kawasan stadium. Namun, jika pengawal keselamatan berbaik hati dan membenarkan kita parkir di dalam kawasan stadium, itu adalah bonus. Saya memilih kawasan parkir Stanley Park, iaitu taman yang berada bersebelahan dengan stadium. Cukup luas dan ada pengawal beruniform yang akan meronda taman berkenaan sepanjang masa jadi tidak perlu risau untuk meninggalkan beg di dalam kereta.

Daripada kawasan parkir di Stanley Park ke stadium hanyalah sekitar 100 meter berjalan kaki. Apa yang menarik, walaupun berpagar kita masih boleh berada di kawasan sekitar stadium sehingga waktu malam. Tetapi sekiranya berhajat untuk melakukan lawatan stadium (stadium tour) atau membeli-belah di kedai megastore, pastikan datang awal kerana ianya dibuka sehingga jam enam sahaja.

Lawatan stadium merupakan pengalaman yang perlu diambil untuk peminat sejati 'The Kops'. Kebiasaanya, lawatan ini akan meliputi kunjungan ke kawasan tempat duduk penonton, tempat duduk pemain simpanan di bahagian sisi padang, bilik sidang media, bilik persalinan pemain pasukan tuan rumah dan juga pasukan pelawat. Lawatan stadium ini dikenakan caj sekitar 17 pound.

Kedai megastore Liverpool hanyalah satu tingkat sahaja tetapi barang-barang jualan yang terdapat di dalamnya adalah lebih banyak pilihan berbanding dengan megastore lain yang pernah saya kunjungi seperti megastore Manchester United. Apa yang saya perhatikan, pilihan untuk t-shirt lebih banyak, cantik dan lebih murah. Saya juga membeli beberapa helai pakaian kanak-kanak dan mafla bertemakan Liverpool yang ditempah awal-awal lagi oleh rakan saya yang rata-rata penyokong kuat kelab bola sepak ini.

Apa yang boleh dikatakan saya tidak menjangkakan apa-apa impak langsung daripada lawatan ke Anfield namun semuanya berubah setelah pertama kali menjejakkan kaki ke sini. Aura, semangat dan kesetiaan penyokong Liverpool memang lain. Walaupun sudah lama tidak menjulang piala, ada sesuatu yang membuatkan penyokong setianya terus bersorak dan tanpa jemu menyanyikan bait-bait lagu 'You'll Never Walk Alone'. Liverpool dan peminatnya dari serata dunia menjalinkan ikatan yang tidak mampu saya gambarkan melalui penulisan. Bukan sekadar bola sepak, YNWA lebih daripada itu. Grande.

Maklumat tambahan: Jika anda bermain permainan video PS4 Pro Evolution Soccer (PES) pasti perasan babak stadium Anfiled di dalam permainan video berkenaan. Sukacita dimaklumkan rendering yang dilakukan terhadap bahagian luaran stadium berkenaan adalah 90% menyamai rupa sebenar stadium. Sangat realistik!