Pandu Uji Honda HR-V, SUV Kompak Pilihan Rakyat Malaysia

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pasaran automotif di Malaysia dibanjiri dengan SUV kompak; trend yang dimulakan oleh Subaru dengan model XV dan Mitsubishi dengan model ASX. Namun begitu, kemunculan pencabar daripada Honda merubah segala-galanya. Siapa yang tak kenal dengan model HR-V? SUV yang sinonim dengan pemanduan lasak tetapi kini tiba-tiba menjadi idaman sebagai kenderaan yang memiliki stance gagah dan bergaya. SUV yang secara tiba-tiba menjadi bualan ramai sekaligus menyesakkan jalanan di Malaysia sehingga tempoh menunggunya menjangkau ke lapan bulan! Apa yang hebat sangat?


Pandu uji singkat merungkai kenapa HRV menjadi kegilaan rakyat Malaysia ketika ini :



Rekabentuk


Honda bijak memasuki pasaran SUV kompak pada saat dan ketika yang betul. Tiada salahnya saya katakan HR-V merupakan pilihan terdekat dan termampu kepada Range Rover Evoque. Oh memang perbandingan yang mengarut tetapi siapa yang tidak meminati Evoque? Bunyinya mungkin tidak munasabah tetapi minat rakyat Malaysia terhadap kereta tinggi dan stylo dimulakan oleh Evoque tetapi kebanyakan daripada kita hanya mampu melihat disebabkan harganya yang sangat tinggi. Jadi apakah pilihan yang tinggal?


honda-hrv-004



Ya, HR-V muncul ketika kita semua mahukan alternatif murah (murahpun RM100k+ juga). Dengan garisan badan dinamik, lampu hadapan dengan LED, pemegang pintu disorok pada pillar C seakan SUV coupe dua pintu, HR-V memang menawan. Pendek kata reka bentuk futuristik yang mampu bertahan berdekad lama, tipikal Honda (cuba bayangkan Civic FD).


Ruang dalaman juga memiliki banyak point positif. Untuk spec tertinggi iaitu V spec, papan pemuka dan panel pintu memiliki banyak soft touch. Kerusinya dibaluti kombinasi kulit dan fabrik yang lembut. Sistem audio dilengkapi skrin LCD 7 inci lengkap dengan kamera undur. Konsol tengah tinggi pula bersambung terus dengan armrest. Brek tangan tiada di tempat biasanya kerana digantikan dengan suis yang lebih praktikal dan menjimatkan ruang. Namun saya kurang berkenan dengan ruangan di bawah konsol tengah yang menempatkan port USB dan HDMI. Out of place lah Honda. Susah sebenarnya untuk caj telefon bimbit di ruangan berkenaan. Tak tahulah mungkin ada penambahbaikan untuk model facelift?


honda-hrv-001


honda-hrv-003



Ruang kerusi belakang merupakan plus point untuk model ini. Sangat luas seperti berada dalam SUV yang berada satu kelas di atas (Mazda CX-5 atau CR-V) cuma kalah pada kelebaran yang ditawarkan oleh model segmen C. Tiada masalah untuk meletakkan kerusi bayi untuk model HRV kerana ia dilengkapi 3 point seatbelt dan ISOFIX. Ruang leganya sangat memuaskan.




Pemanduan


Bagaimana pula dengan pemanduannya pula? Honda HR-V datang dengan enjin tunggal 1.8 liter ivtec untuk semua varians yang dijual di Malaysia. Berdasarkan pemanduan ringkas di sekitar Setia Alam, Honda HR-V agak “struggle” untuk memecut. Dengan berat lebih 1.2 tan, enjin dipacu bersama transmisi CVT menderu tercari-cari artificial gear yang sesuai dengan tekanan kaki pada pedal minyak. Respon oleh enjin tidak segera dan lembab. Jika mahu memotong dengan jarak yang pendek, disarankan anda tekan sehingga ke lantai pedal pecutan supaya kereta ini bergerak laju sedikit. Jika anda pemandu yang santai dan tidak kisah mengenai prestasi enjin, ia memberi pemanduan yang selesa untuk anda dan penumpang anda. Itu pun dah cukup baik.


honda-hrv-002


Membelok HR-V anda akan merasai sedikit elongan kerana badan yang tinggi berbanding kereta sedan, timbal balik untuk posisi pemandu yang lebih tinggi dan selesa. Perlu diingatkan bahawa HR-V adalah kenderaan pacuan hadapan di mana tiada varian 4WD ditawarkan di bumi Malaya jadi anda perlu berfikir dua kali jika mahu membawa jentera ini menjelajah hutan belantara Ulu Tembeling ataupun meredah sungai.



Kesimpulan


Sehingga pesaing dari Mazda dengan CX-3 muncul di pasaran Malaysia, HR-V adalah pilihan mutlak bagi SUV kompak. No doubt. Namun ia juga bergantung bagaimana Bermaz cuba meletakkan CX-3 di pasaran yang kompetitif ini. Jika harga CX-3 lebih dari HR-V, alamatnya Honda masih boleh tersenyum kerana HR-V akan terus menguasai jalanan kita.


honda-hrv-005