(Review) Hotel Ilunion Aqua 4, Valencia, Sepanyol


Dalam misi mengejar Hafizh Syahrin yang menunggang di Kejuaraan Dunia MotoGP di benua Eropah telah membawa saya dan isteri ke bumi Sepanyol pada tahun 2017. Hotel yang kami inap ini terletak di Carrer de Luis García-Berlanga Martí, Valencia, Sepanyol. Walaupun empat bintang, hotel ini tidaklah segah mana.





Selepas mendaftar masuk ke bilik boleh dikatakan rekaan dalamannya biasa sahaja dan pemandangan luar pula mengadap blok rumah pangsa. Tilam masih boleh diterima tetapi apa yang agak mengganggu saya adalah terdapat banyak tempat yang tidak dibersihkan dengan teliti seperti tingkap yang berhabuk dan meja yang tidak berlap. Oleh kerana hotel ini berhampiran dengan jalan besar jadi bunyi bising kereta semestinya menerjah masuk ke dalam bilik. Walaupun demikian, tidur malam saya masih lena dan nyenyak. Maklumlah badan penat.





Sarapan pagi juga disediakan cuma tidak banyak pilihan makanan. Saya dan isteri cuma makan roti, yogurt dan buah-buahan sahaja kerana tidak mahu tragedi terpegang bakon di London berulang kembali. Semasa hari perlumbaan, isteri saya mengeludup pisang daripada hotel di dalam beg untuk dijadikan sebagai bekalan kami semasa perjalanan menaiki bas dan keretapi. Jauh sebenarnya litar Ricardo Tormo. Umpama perjalanan dari Klang ke Litar Sepang. Nasib baik kami ada bawa bekal kerana litar ini tidak seperti litar di Malaysia yang meriah dengan jualan makanan dan minuman. Di sana hanya terdapat gerai menjual baju dan cenderahati berkaitan MotoGP sahaja.





Untuk mencari restoran halal juga agak sukar disebabkan lokasi yang dipilih tidak ramai Muslim di kawasan sekitarnya. Semasa malam terakhir ketika berada di sini kami sudah tidak tahan untuk mencari makanan panas dan halal jadi terpaksalah kami menapak hampir tiga kilometer. Semestinya makanan Arab di Andalus Dolc tersangatlah sedap. Pasti kami akan singgah lagi sekiranya berkesempatan ke Valencia lagi.





Walaupun hotel ini berdekatan dengan pasaraya, kami mengalami kesukaran mencari kedai serbaneka untuk membeli makanan ringan dan air minuman. Jauh berbeza seperti di London dan Tokyo di mana kedai serbaneka berada di mana-mana.