Pengalaman Di Emirates Stadium (Arsenal)

Stadium Emirates adalah rumah kepada kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris, Arsenal FC dan terletak di Holloway London. Stadium ini mampu memuatkan hampir 60,000 orang dan merupakan stadium ketiga terbesar di England selepas Wembley dan Old Trafford.



Stadium Emirates ini terletak di Utara London dan rugilah sekiranya sudah berada di London tetapi tidak menjengah stadium milik pasukan Arsenal ini. Seperti semua sedia maklum terdapat ramai penyokong dan peminat dari kalangan warga negara Malaysia sendiri. Jika berkunjung ke stadium ini dengan menggunakan perkhidmatan keretapi bawah tanah, kebarangkalian terserempak dengan mat-mat Melayu amatlah tinggi. Begitulah ramainya peminat Arsenal walaupun prestasi pasukan di dalam kancah Liga Perdana tidaklah sebagus mana.

Saya juga mengambil peluang untuk melakukan stadium tour sama seperti yang saya buat semasa di stadium Chelsea dengan bayaran 25 pound seorang. Konsep lawatan stadium hampir sama tetapi tiada pekerja stadium yang akan menemani di sepanjang lawatan kerana kita telah dibekalkan dengan alat audio visual yang akan menerangkan secara terperinci berkenaan setiap kawasan yang kita lawati. Jangan risau kerana alat ini bersama earphone dibekalkan oleh pihak stadium termasuk dengan harga lawatan stadium. Perlu diingat alatan audio visual ini perlu dipulangkan selepas lawatan tamat tetapi earphone jadi milik kita.

Berbeza dengan Stamford Bridge, Emirates adalah stadium yang serba baru dan canggih, jadi persekitaran dan keadaan fizikal stadium jauh lagi moden berbanding stadium Chelsea. Oh ya sesuatu yang menarik berkenaan stadium ini adalah, kerusi penonton di stadium ini datangnya dari Malaysia! Siapa kata produk kita tidak berkualiti?

Semasa lawatan kita akan dibawa ke pintu masuk pengarah, kotak pengarah (Directors Box), kelab, pintu masuk pemain, bilik persalinan pemain, pejabat ketua jurulatih, bilik sidang media, bilik interview pantas, terowong dan berada di tempat duduk pemain di tepi padang. Berada di bucket seat para pemain, kita boleh lihat betapa dekatnya aksi semasa perlawanan sebenar dan rekaan stadium yang betul-betul membuka penglibatan penonton untuk sama-sama bersorak dan menyokong pasukan ketika mana-mana perlawanan.

Semasa lawatan juga saya difahamkan Arsene Wenger terlibat secara langsung dalam pembinaan stadium dan beliau mahukan stadium yang dibina yang memberi kepuasan kepada penonton tidak kira di mana-mana bahagian di dalam stadium. Salah satu 'trick' adalah dengan menaikkan padang lebih tinggi berbanding kebiasaan. Dengan trick mudah ini, penonton di bahagian paling atas stadium sekalipun masih boleh menghayati aksi-aksi perlawanan tanpa terasa terlalu jauh dengan padang. Saya boleh bayangkan sekiranya pada perlawanan sebenar dan 60,000 penonton memberi sorakan sepenuh jiwa terhadap pasukan kesayangan mereka ini, semestinya bergema stadium dengan gempita sorakan.

Lawatan stadium ini boleh dikatakan yang paling menarik dan interaktif di antara lawatan stadium yang saya pernah ikuti. Di akhir lawatan, setiap pelawat akan  diberikan satu sijil khas yang menunjukkan tentang kehadiran kita ke stadium ini. Selepas itu bolehlah membeli-belah di Megastore Arsenal yang setinggi dua tingkat. Stadium-stadium dan kelab-kelab di Malaysia boleh cedok semua idea kelab utama dunia ini. Penjualan jersi original dan merchandises sedikit sebanyak memberi sumber kewangan kepada kelab, sesuatu yang kita masih jauh tertinggal di belakang.