Pengalaman 'Stadium Tour - Valencia CF' Di Stadium Mestalla, Valencia


Sebut sahaja Sepanyol apa yang terlintas di fikiran adalah kota Madrid dan Barcelona. Kedua-duanya adalah dua kota utama yang memang dikenali di seluruh dunia bukan sahaja kerana lokasi dan sejarahnya tetapi kerana ianya sinonim dengan dua kelab bola sepak yang sangat terkenal di dunia iaitu Real Madrid dan juga CF Barcelona. Kedua-dua kelab yang menjadi seteru dalam kancah bola sepak La Liga Sepanyol yang selalu disebut-sebut sebagai El-Clasicco. Tiada kelab lain di dunia mampu membawa aura sekuat dua kelab ini.


Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya yakin rakyat Malaysia terutama penyokong kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) mengetahui bahawa kelab bola sepak JDT telah menjalinkan hubungan kerjasama dengan pelbagai kelab Eropah sebagai usaha untuk meningkatkan mutu bola sepak kelab berkenaan supaya setaraf dengan kelab daripada Eropah. Salah satu kelab yang dimaksudkan adalah Valencia CF. Kelab yang terletak di Valencia ini merupakan antara kelab yang kuat di Sepanyol, cuma ianya selalu dibayangi dengan kewujudan Real Madrid dan Barcelona yang nampak terlalu 'superior' dan gah.


Stadium Tour, Mestalla Stadium, Valencia

Stadium Tour, Mestalla Stadium, Valencia

Semasa melawat Valencia pada November 2017 saya telah berkesempatan melawat stadium utama pagi pasukan Valencia CF ini. Warga tempatan menggelarnya 'Mestalla' yang saya sendiri tidak tahu terjemahannya ke Bahasa Melayu. Mungkin membawa maksud kelawar kerana kelawar merupakan maskot utama pasukan Valencia ini.


Stadium ini agak kecil dan lokasinya berada di dalam kawasan perumahan berdekatan dengan pusat komersial di sekelilingnya. Walaupun luaran stadium ini kelihatan gah, namun apabila dilihat dari dekat didapati ia agak kotor dan tidak dijaga dengan rapi. Apa yang saya boleh katakan, UK telah meletak standard yang tinggi untuk hampir keseluruhan stadium mereka manakala Valencia tertinggal sedikit dari segi aspek ini.



Sungguhpun demikian, saya dan isteri tetap melakukan acara wajib lawatan stadium di sini. Bayaran yang dikenakan adalah 10 euro seorang dan lawatan ini dikendalikan oleh pekerja stadium yang membawa kita melawat ke setiap bahagian dan kawasan penting stadium. Bilik persalinan pemain, rak piala-piala yang dimenangi pasukan, bilik sidang media, dan sudah semestinya merasai pengalaman berada di tempat duduk penonton ketika perlawanan adalah highlight lawatan. Namun yang paling ditunggu-tunggu adalah pengalaman melalui terowong pemain dan berarak masuk ke dalam stadium. Aura itu dapat dirasai dan sememangnya stadium di Eropah amat menitik-beratkan hal ini.


Stadium Tour, Mestalla Stadium, Valencia

Di dalam stadium ini juga terdapat gereja kecil yang disediakan pihak stadium supaya pemain dapat berdoa sebelum satu-satu perlawanan diadakan. Tetapi menurut kata pekerja stadium, chapel berkenaan tidak digunakan secara kerap namun tetap dikekalkan di dalam stadium.


Stadium Tour, Mestalla Stadium, Valencia

Secara kesimpulannya Mestalla mungkin tidak segah stadium lain di Eropah tetapi fasiliti dan lawatan stadium boleh dipraktikkan oleh perbadanan bola sepak negeri dan kelab-kelab  bola sepak di Malaysia sebagai salah satu punca pendapatan stadium. Rugi sekiranya stadium yang cantik tidak dinikmati dan dikongsi bersama peminat-peminat di seluruh dunia.


P/S : Kedai barangan cenderamata Valencia CF tidak terletak dalam bangunan yang sama dengan stadium, sebaliknya di deretan kedai berdekatan kira-kira 100m dari stadium