Experience Travel

Stadium Tour di Stamford Bridge (Stadium Chelsea FC), London

London. Selain daripada tempat tumpuan pelancong, London juga merupakan tempat kelahiran beberapa buah kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris yang sememangnya dikenali seantero dunia seperti Chelsea, Arsenal dan juga Tottenham Hotspurs. Tidak lengkaplah kunjungan ke bumi London tanpa menjenguk ke stadium-stadium ini jadi saya mulakan lawatan saya ke salah sebuah stadium keramat bagi pasukan Chelsea Football Club, iaitu Stamford Bridge.

Bagi sesiapa yang berhajat untuk pergi ke Stamford Bridge ini sangatlah mudah. Cara yang paling fleksibel adalah dengan menggunakan perkhidmatan keretapi bawah tanah dari mana-mana stesen di London dan naik tren yang menuju ke Stesen Fulham Broadway. Setelah sampai di stesen ini, teruskan perjalanan dengan berjalan kaki lebih kurang 500 meter menuju ke stadium. Jangan risau sekiranya kurang pasti tentang lokasi sebenar kerana terdapat banyak tanda jalan yang menunjukkan arah ke stadium ini. Paling mudah ikut sahaja mereka yang berjersi biru kerana sudah pastinya mereka juga menuju ke destinasi yang sama. :p

Stadium Tour di Stamford Bridge (Stadium Chelsea FC)

stadium-tour-stamford-bridge-chelsea-01

Lawatan stadium (stadium tour) dibuka setiap hari kecuali pada hari perlawanan, jadi sekiranya anda melawat Stamford Bridge pada hari-hari biasa selain daripada hari perlawanan, gunakan peluang yang ada untuk mengikuti lawatan ini. Caj yang dikenakan agak mahal iaitu 22 pound untuk dewasa dan 15 pound untuk kanak-kanak berumur daripada 5 hingga ke 15 tahun. Kebiasaannya lawatan stadium dilakukan secara berkumpulan seramai 40 orang bagi satu sesi dengan kekerapan setiap 20 minit. Sebelum lawatan bermula, para pengunjung akan dibawa ke ruang menunggu yang terletak bersebelahan dengan muzium. Saiz muzium tidaklah besar mana tetapi cukup banyak memorabilia sukan berkaitan pasukan bola sepak Chelsea FC boleh dilihat dan dihayati di sini. Jangan tak percaya cenderamata daripada pasukan Malaysia pun ada dipamerkan di sini.

stadium-tour-stamford-bridge-chelsea-01

Semasa berkumpul di kawasan menunggu, pengumuman akan dibuat dari masa ke masa supaya para pengunjung bersedia apabila tiba giliran mereka untuk lawatan. Apa yang menarik tentang lawatan ini adalah, kita akan dibawa melawat ke pelbagai kawasan yang kebiasaannya menjadi kawasan larangan untuk orang awam. Lawatan dimulakan dengan para pelawat dibawa memasuki stadium melalui laluan yang kebiasaannya digunakan penonton pada hari perlawanan. Terus-terang saya terpegun dengan tahap kebersihan dan teraturnya stadium ini. Terasa aura yang hanya akan dapat kita rasai apabila berada sendiri di dalam Stamford Bridge. Lain sangat dengan stadium di Malaysia! Sepanjang lawatan, pemandu pelancong yang bertugas akan memberikan penerangan ringkas tentang sejarah stadium, pasukan dan juga para pemain. Boleh dikatakan pemandu pelancong kami ketika itu sangat fanatik dengan Eden Hazard dan dengan penuh yakin beliau menyatakan bahawa tiada siapa mampu menandingi kehebatan Hazard termasuklah Cristiano Ronaldo mahupun Messi! Hahaha..

Selain daripada itu, pengunjung juga dibawa melawat ke bilik persalinan untuk pasukan tuan rumah dan juga pasukan pelawat. Kalau anda semua nak tahu, bilik persalinan untuk pasukan tuan rumah bersaiz besar, luas dan lengkap tetapi berlawanan pula dengan bilik persalinan pasukan pelawat yang agak ala kadar. Mungkin salah satu perang psikologi sebelum bermulanya perlawanan? Tempat lain yang anda dapat lawati adalah bilik berita yang merupakan ruang di mana sidang media selepas perlawanan dan juga lokasi para pemain melakukan sesi menandatangani kontrak. Pelawat diberi peluang mengambil gambar dan bolehlah berangan menjadi pengurus pasukan di sini.

stadium-tour-stamford-bridge-chelsea

Pemandu pelancong kami yang ‘good-looking’. Hahaha

stadium-tour-stamford-bridge-chelsea-04

stadium-tour-stamford-bridge-chelsea

Bilik persalinan pasukan Chelsea FC

Selain daripada itu, di antara saat yang paling dinantikan semasa lawatan adalah melalui terowong pemain yang menuju terus ke luar padang dan ia sememangnya suatu pengalaman yang sangat mengujakan. Ibarat kita adalah barisan para pemain yang sudah siap-sedia untuk berjuang berhabis-habisan di atas padang. Kerusi pemain simpanan di tepi padang sangat selesa tetapi perlu diingat, kita tidak dibenarkan untuk memijak rumput padang atas sebab untuk menjaga kualiti rumput ketika hari perlawanan nanti.

Lawatan memakan masa sekitar satu jam dan pengakhiran lawatan akan terus membawa pelawat ke kedai megastore Chelsea yang sangat besar setinggi dua tingkat. Jangan lupa membeli jersi, mafla, tshirt atau rantai kunci sebagai cenderahati untuk dibawa pulang ke tanah air nanti. Berus gigi Chelsea FC pun ada juga dijual!

stadium-tour-stamford-bridge-chelsea-06

stadium-tour-stamford-bridge-chelsea

Sememangnya pelengkap lawatan adalah menonton perlawanan English Premier League di Stamford Bridge dengan kedua-dua belah mata sendiri namun apakan daya, untuk mendapatkan tiket perlawanan amatlah sukar dan perlu ditempah lebih awal. Jika diberi peluang sekali lagi untuk menjejakkan kaki ke sini, sudah semestinya saya akan mencuba sedaya boleh untuk berada bersama barisan penyokong Chelsea yang lain dan bersorak sekuat mungkin, “Keep The Blue Flag Flying High!“.

Jumpa lagi di lain masa Stamford Bridge!

Leave a Comment