Lifestyle

4 Pilihan Kereta Sedan Bawah 100K Untuk Pengguna Berkeluarga

Membeli kereta merupakan suatu proses yang amat menyeronokkan (pada pandangan sayalah) kerana anda boleh memandu uji apa-apa kereta yang anda berminat untuk memilikinya. Namun demikian, proses pembelian kereta bukanlah semudah singgah ke ruang pameran kereta, pandu uji dan terus bayar wang pendahuluan. Tidak sama sekali. Untuk mengelakkan timbul perasaan kecewa dan menyesal dengan keputusan terburu-buru, di sini saya kongsikan beberapa tips berguna dalam memilih kereta.

Oh sebelum itu, perkongsian ini menyasarkan mereka yang mencari kereta sedan keluarga segmen B berharga bawah RM100,000; dengan kata lain pasangan yang baru mendirikan rumah tangga sama ada mereka yang sudah atau merancang untuk mendapatkan anak. Maaf ya, artikel ini tidak menyentuh berkenaan kuasa kuda dan tork kerana sudah banyak review lain yang memberi fokus terhadap aspek berkenaan.

Keselamatan

Mencari kereta yang selamat adalah amat subjektif. Kebiasaannya pasaran kereta mewah dilengkapi dengan pelbagai gajet keselamatan 3 huruf seperti ABS, EBD, VSA, ESC dan banyak lagi akronim berbeza mengikut dunia pengeluar kereta. Walau bagaimanapun, kesedaran pengguna untuk memiliki kereta yang selamat di Malaysia telah memaksa pengeluar kereta mass market melengkapkan kereta mereka dengan gajet keselamatan walaupun untuk kereta yang berada di dalam segmen A (Viva, Axia, Picanto) dan B (Iriz, Myvi, City, Jazz, Vios, Almera, Mazda 2, Mirage). Seboleh-bolehnya cuba dapatkan kereta dengan sekurang-kurangnya 2 beg udara (kalau dapat 6 lagi bagus), mempunyai Electronic Stability Control (ESC) dan Anti Brake System (ABS) sebagai kelengkapan standard kereta pilihan anda.

Nota: Penggunaan akronim ESC untuk setiap pengeluar kereta adalah berlainan. Sebagai contoh;
• Honda: Vehicle Stability Assist (VSA)
• Hyundai: Electronic Stability Program (ESP), Electronic Stability Control (ESC) dan Vehicle Stability Assist (VSA)
• Kia: Electronic Stability Control (ESC) dan Electronic Stability Program (ESP)
• Mazda: Dynamic Stability Control (DSC) (including Dynamic Traction Control)
• Mitsubishi: Active Skid and Traction Control MULTIMODE and Active Stability Control (ASC)
• Nissan: Vehicle Dynamic Control (VDC)
• Peugeot: Electronic Stability Program (ESP)
• Proton: Electronic Stability Control (ESC) / Vehicle Dynamics Control (VDC)
• Suzuki: Electronic Stability Program (ESP)
• Toyota: Vehicle Stability Control (VSC) / Vehicle Dynamics Integrated Management (VDIM)
• Volkswagen: Electronic Stability Program (ESP)

Praktikaliti

Mempunyai anak kecil memerlukan ruang kereta yang amat besar. Percayalah! Ruang but kereta anda mestilah boleh memuatkan stroller, beg susu, beg bayi dan jika anak anda tidur dalam buaian, anda akan bersyukur mempunyai but kereta yang cukup luas untuk mengisi buaian anak anda. Selain daripada itu, ruang kaki untuk penumpang belakang juga perlu luas untuk menempatkan carseat penumpang cilik anda.

Market pembeli kereta di Malaysia adalah sangat unik. Di Malaysia, kita menetapkan bajet tertentu dan melihat model mana yang berada di dalam lingkungan harga yang telah ditetapkan. Antara model kereta sedan segmen B di bawah RM100,000 yang menjadi pilihan rakyat Malaysia adalah Toyota Vios, Honda City, Nissan Almera dan Mazda 2 sedan. Jadi apakah pilihan yang terbaik jika kita mengambil kira semua keperluan di atas?

#4 – Mazda 2 Sedan

mazda-2-sedan

Di kedudukan keempat adalah Mazda 2 Sedan. Jangan salah anggap kenapa Mazda berada di kedudukan terakhir. Mazda 2 Sedan adalah kereta yang menarik dan kacak. Ruang dalaman juga mewah dan dipenuhi dengan banyak permukaan soft touch serasa berada di dalam Mercedes A Class! Pemanduan dan pengendalian juga adalah sangat baik untuk kelasnya namun dari sudut praktikaliti, ia berada di kedudukan tercorot.

Ruang tempat duduk belakang sangat sempit sehingga memaksa anda menolak kerusi hadapan ke kedudukan paling hadapan sekiranya carseat dipasang di kerusi belakang. Anda mesti tidak mahu duduk di kerusi penumpang hadapan dengan lutut bergesel dengan glovebox bukan? Ciri-ciri keselamatan Mazda 2 untuk pasaran Malaysia juga mengecewakan. Bermaz hanya menawarkan 2 beg udara untuk Mazda 2 berbeza dengan apa yang diperoleh oleh pasaran luar negara. Oh itu tidak termasuk lampu halogen yang tidak cool langsung. Bad move Bermaz!

#3 – Nissan Almera

nissan-almera

Entah kenapa saya kurang berkenan dengan reka bentuk luaran Almera. Tema rekaan yang membosankan juga dibawa ke bahagian dalamannya. Reka bentuk luaran seakan tidak kena dan kit Nismo tidak dapat mengubahnya menjadi lebih kacak. Ruang dalamannya pula adalah luas setara dengan Toyota Vios tetapi reka bentuk papan pemuka seperti kereta yang datang dari tahun 90an. Tiada masalah untuk menempatkan kerusi bayi anda di kerusi belakang kereta ini.

Jika anda tidak kisah dengan rupa, anda boleh terus memilih Nissan Almera. Harganya juga paling murah berbanding keempat-empat kereta di dalam perbandingan ini. Ciri keselamatan standard seperti 2 beg udara dan ABS namun tiada ESC terpasang dalam.

#2 – Toyota Vios

toyota-vios

Toyota Vios merupakan raja bagi segmen B kereta bukan nasional sejak daripada generasi pertama lagi. Untuk Vios baharu, reka bentuk yang menawan dan lebih tajam, menjadikannya antara kereta yang paling mendapat sambutan di kalangan pembeli di Malaysia. Ruang dalaman juga mendapat rework yang amat positif. Kini meter cluster diletakkan di tempat yang sepatutnya di belakang stering; bukan di ruangan tengah seperti generasi pertama dan kedua Toyota Vios.

Reka bentuk dalamannya lebih moden dan classy dengan efek jahitan kulit di papan pemuka dan panel pintu. Untuk menempatkan carseat di kerusi belakang juga tiada masalah seperti Mazda 2. Ciri keselamatan pula sama seperti Nissan Almera; hanya 2 beg udara dan tiada ESC walaupun untuk model yang paling mahal.

#1 – Honda City

honda-city

Di kedudukan pertama tidak lain dan tidak bukan adalah Honda City. Untuk spec tertinggi V, Honda City dilengkapi dengan 6 beg udara, Vehicle Stability Assist (VSA) dan ABS sebagai kelengkapan standard. Berbeza dengan tiga model di atas, Honda City menggunakan transmisi CVT untuk mendapatkan penjimatan minyak yang paling optimum. Walaupun ciri keselamatannya adalah yang terbaik, kekurangan yang jelas adalah kualiti binaan Honda City (generasi keenam) agak mengecewakan dibandingkan dengan generasi sebelumnya.

Tiada opsyen untuk kerusi kulit dan brek belakang pula adalah jenis drum walaupun untuk spec V. Tetapi anda akan tersenyum apabila melihat ruang kaki kerusi belakang yang sangat luas dan mampu menandingi kereta yang berada di segmen D! Packaging yang sangat brilliant oleh Honda.

Senarai di atas merupakan pandangan umum penulis berdasarkan keperluan mencari kereta sedan keluarga di dalam segmen B. Jadi apakah pendapat dan pandangan anda? Bagaimana pula saingan dari pengeluar kereta nasional? Salurkan pandangan melalui komen di bawah.

Leave a Comment